Jumaat, 24 Julai 2009

Terapi Solat Secara Saintifik oleh UM

Dipetik dari Ziauddin Sharuddinzia@bharian.com.my
KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia. SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna? Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.
Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok. Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot. Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan. Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM. Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah. Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang. Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu. Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. “Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya. Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Perintah Solat


ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.
Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1) Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.